? ??????????????Lost in the View? ????? ?? ???Rating: 4.1 (14 Ratings)??423 Grabs Today. 7406 Total Grabs.
??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????????????????????Snowy Winter? ????? ?? ???Rating: 4.2 (42 Ratings)??371 Grabs Today. 8818 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the C BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

16 February 2010

Kaedah Sejarah

KAEDAH: LAWATAN KE MUZIUM




Pengenalan.



Lawatan ke Muzium meruapakan salah salah satu daripada banyak kaedah pengajaran mata pelajaran Sejarah. Sebelum sesuatu lawatan dilakukan rancangan dan persiapan rapi dan teliti hendaklah disediakan supaya program berjalan licin tanpa sebarang masalah yang timbul. Belajar sambil melawat ke Muzium ini memberikan kesempatan dan peluang kepada pelajar untuk mendalami ilmu pengetahuan dan menimba pengalaman serta mengalami keadaan sebenar. Ini memberikan peluang keemasan kepada pelajar untuk lebih memahami dan menghayati Sejarah negara sendiri dan mendedahkan diri kepada suasana penyelidikan persejarahan.



Pelajar yang mengikuti lawatan ke Muzium ini lebih berkemahiran dalam bidang penyelidikan sejarah seperti kemahiran merancang, menyusun dan mengumpul koleksi-koleksi penerangan dan maklumat sejarah. Daripada lawatan ini akan menyusul pula perbincangan dan diikuti dengan menyediakan laporan lengkap dan berguna kepada pelajar sebagai bahan rujukan. Muzium merupakan bangunan yang menyimpan, memelihara, mengkaji, dan mempamerkan bahan-bahan yang mempunyai nilai sejarah, seni dan saintifik. Lawatan ke Muzium memberikan peluang kepada pelajar melihat sendiri barang-barang pameran yang terdapat di dalam bangunan itu. Lawatan yang berjaya akan memberikan kesan kepada pengalaman pembelajaran pelajar.



Fungsi Muzium



Muzium merupakan gedung penyimpanan bahan-bahan bersejarah yang boleh dinikmati oleh orang ramai dan bertindak sebagai badan penyebar ilmu pengetahuan misalnya melalui pameran-pameran harian dan pameran yang khas, seperti pameran barang-barang sejarah dari luar negara. Terdapat banyak muzium di Malaysia misalnya Muzium Negara dan Muzium-muzium di setiap negeri, Muzium Tentera, Muzium Polis dan sebagainya. Selain itu, muzium menjadi tempat pemelihara nilai-nilai kebudayaan bangsa. Terdapat pelbagai barang-barang yang tinggi nilai seni yang melambangkan kebudayaan negara ini tersimpan di muzium-muzium seperti pakaian tradisi, senjata tradisi seperti keris, lembing, badik, dan sebagainya.



Selain itu juga, muzium merupakan satu tempat yang sesuai untuk menjalankan penyelidikan kerana terdapat banyak khazanah sejarah yang penting disitu. Pelbagai maklumat penting dapat diperolehi daripada muzium. Oleh itu, lawatan ke muzium merupakan satu kaedah yang berkesan dimana pelajar mendapat maklumat berkaitan pelajaran secara terus. Bagi pelajar-pelajar yang pernah membuat penyelidikan akan mengalami peristiwa yang boleh dijadikan pengalaman dan pengajaran kepada mereka. Disamping meningkatkan ilmu pengetahuan pengunjung secara tidak lansung pihak muzium memupuk kesedaran masyarakat terhadap sejarah dan kebudayaan bangsa sendiri serta meningkatkan semangat cintakan negara dan khazanahnya.



Objektif Lawatan Ke Muzium



Mengapakah perlunya pelajar-pelajar melawat ke muzium? Pembelajaran di dalam kelas adalah bersifat teori dan abstrak, yang memerlukan kepada daya pemikiran imaginatif. Apabila guru menerangkan sesuatu perkara pelajar hanya diberikan gambaran dan memerlukan daya imaginasi untuk membayangkannya. Dengan lawatan ke Muzium pelajar-pelajar berpeluang melihat dengan mata kasar sendiri dan secara dekat bahan-bahan pameran yang ada kaitan dengan pembelajaran, dan sebagai bonus bahan-bahan yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Terdapat banyak perbezaannya antara berimaginasi (abstrak) dengan melihat secara lansung (konkrit) dan ini akan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap subjek Sejarah. Di dalam muzium awam terdapat pelbagai tinggalan sejarah, barang-barang antik, benda yang aneh atau luar biasa.



Selain itu, objektif lawatan ini ialah untuk memberikan satu kelainan dalam kaedah pembelajaran yang tidak lagi berlaku di dalam kelas sahaja. Pembelajaran hari ini bukan sahaja boleh berlaku dalam kelas tetapi pembelajaran boleh berlaku ditempat-tempat lain juga misalnya di muzium ini. Pembelajaran sebegini memberikan ruang dan suasana yang berbeza dan menarik minat pelajar-pelajar disamping pendedahan terhadap maklumat secara terus. Lawatan ke muzium merupakan satu perubahan yang baik untuk memberikan kefahaman terhadap pelajar tentang peristiwa masa lalu dari pelbagai sudut dan perspektif. Ini akan membuka minda pelajar-pelajar dan membentuk fakulti keintelektualan dalam diri mereka.

Kekuatan Kaedah



Kaedah lawatan ke muzium ini mempunyai beberapa kelebihan tertentu. Para pelajar akan melalui pengalaman yang berharga semasa lawatan kerana secara langsung mereka mendapat pelbagai maklumat-maklumat penting. Pengalaman merupakan hal yang paling bernilai dan guru yang paling baik adalah pengalaman diri sendiri kerana pengalaman membawa seseorang secara terus terhadap perkara yang dibincangkan, difikirkan, diminati, dan seumpamanya. Pengalaman yang berguna menjadi asas kepada pelajar untuk menghadapi keadaan-keadaan yang lain dengan kegiatan-kegiatan lain kemudiannya.



Selain itu, kaedah ini akan membuat pelajar lebih sedar terhadap persekitaran sejarah. Aktiviti lawatan itu akan mengubah corak pemikiran mereka dengan sikap-sikap yang lebih matang. Mereka mula memahami pelajaran yang cuba disampaikan oleh guru mereka dan akan meningkatkan kemahiran belajar dan minat terhadap mata pelajaran sejarah. Jika sebelum ini pembejaran di dalam kelas membosankan, dengan adanya lawatan ke muzium pelajar-pelajar akan lebih seronok dengan bahan-bahan sejarah yang dilihatnya. Mereka akan lebih teruja untuk mempelajari sejarah dalam masa akan datang. Selain itu, ia juga dapat membentuk nilai dan sikap patriotik dikalangan pelajar-pelajar. Mereka menyayangi khazanah-khazanah berharga dan sekaligus menghargai sejarah bangsa mereka sendiri.



Selain itu, lawatan ke muzium ini akan memberikan satu pendedahan baru kepada pelajar dan bertujuan memupuk keperibadian seorang penyelidik sejarah. Ini akan mendedahkan pelajar-pelajar tentang kaedah untuk menganalisis, merumus, dan menilai fakta-fakta sejarah yang diperolehi mereka. Ini merupakan satu latihan kepada mereka dalam proses membuat sesuatu kajian yang perlu mereka ketahui. Langkah-langkah tersebut akan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang dipelajari di dalam kelas dan melalui buku teks. Muzium memberikan gambaran yang konkrit dan kerana itu muzium dapat menjadi media pendidikan yang efektif.



Kelemahan Kaedah



Selain kelebihan-kelebihan yang ada, kaedah lawatan ke muzium juga memiliki beberapa masalah ataupun kekurangan-kekurangannya. Belajar sambil melawat memerlukan satu perancangan yang teliti dan baik untuk menjayakannya. Ini bertujuan supaya objektif lawatan dan matlamatnya tercapai dan tidak sekadar pergi membuang masa sahaja. Sekiranya perancangan dibuat sambil lewa boleh menjejaskan kualiti lawatan ke muzim dan menjadikan lawatan ke muzium sesuatu yang hambar dan tidak berfaedah kerana objektif yanf ditetapkan tidak terlaksana. Walau bagaimanapun, lawatan tetap berlaku cuma sekadar mencari keseronokkan.



Selain itu, lawatan ke muzium memerlukan kos yang tinggi jika melibatkan muzium-muzium yang jaraknya jauh dan sekiranya lawatan berlangsung beberapa hari ia mengambil masa yang lama disamping banyak prosedur yang perlu dilakukan. Guru terpaksa mendapatkan kelulusan pihak-pihak tertentu seperti pengetua dan ibu bapa dan juga bertanggungjawab terhadap keselamatan dan makan minum pelajar-pelajar. Perkara-perkara sebegini perlu diatasi dan diuruskan dengan cekap untuk menjayakan misi lawatan tersebut.



Pihak muzium juga akan mengalami beberapa kesulitan dalam sesuatu lawatan kerana pihak muzium tidak mampu melayani sekaligus kelompok pelajar yang besar terutamanya dalam persoalan perbincangan tentang bahan pameran. Oleh itu, penggunaan muzium adalah terbatas kepada sekolah kerana membawa kelompok pelajar yang besar ke dalam muzium adalah tidak mungkin. Dan kunjungan hanya boleh dibuat sekali sahaja dalam setahun untuk mengelakkan gangguan terhadap waktu pembelajaran dalam kelas dan lawatan ini mestilah disertakan dengan kegiatan-kegiatan pembelajaran yang efektif dan berguna.



Dari segi pembelajaran, pelajar-pelajar akan kurang berminat terhadap pembelajaran dalam kelas kerana tidak berminat mendengar guru mengajar dan sebaliknya suka kepada aktiviti lawatan yang telah mereka lalui itu. Perhatian dan tumpuan dalam kelas makin berkurangan kerana terpengaruh dengan lawatan ke muzium. Mereka lebih berminat sekiranya perkara yang diajar itu disertakan dengan bukti-bukti konkrit di depan mata. Ini akan mengganggu tumpuan pembelajaran mereka. Oleh itu, sumber atau bahan pengajaran yang digunakan oleh guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat mereka terhadap pelajaran dan menjadikan pembelajaran lebih menarik.



Strategi Perlaksanaan



Lawatan ke muzium boleh meningkatkan minat pelajar-pelajar kerana aktiviti seperti ini memberikan keseronokkan disamping pelbagai maklumat baru dan meninggalkan kesan kepada pelajar-pelajar. Untuk menjadikan sesuatu lawatan itu berjaya dan lebih bermakna ia perlulah disepadukan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang telah dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini untuk mengaitkan dan membuktikan kepentingan mempelajari sejarah. Terdapat dua pembahagian melalui kaedah lawatan ke muzium ini iaitu peringkat sebelum dan selepas lawatan dilakukan.



a) Sebelum Lawatan



Perkara paling penting dalam proses lawatan ke muzium ialah kemahiran pelajar-pelajar mengumpul dan merekod data-data serta maklumat. Namun, sebelum sesuatu lawatan dilaksanakan beberapa perkara perlu dilakukan oleh guru dan pelajar-pelajar untuk menjayakan program. Guru perlulah membuat keputusan tentang tujuan lawatan itu. Setiap peraturan yang ditetapkan pihak sekolah dan pihak Jabatan Pendidikan hendaklah dipatuhi. Program pendidikan luar memerlukan penumpuan yang lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan keselamatan pelajar dan keselamatan peralatan. Guru perlu memaklumkan program yang mahu dibuat kepada ibu bapa tentang tujuan, kos dan lain-lain.



Persediaan-persediaan lain perlu disiapkan dengan teliti untuk memastikan matlamat lawatan tercapai. Taklimat kepada peserta adalah penting untuk memberitahu peranan dan tugasan mereka semasa lawatan nanti. Guru menyediakan beberapa tajuk dan dikelompokkan pelajar-pelajar kepada beberapa kumpulan untuk setiap tugasan yang perlu mereka laksanakan. Pastikan pelajar-pelajar fahami secara jelas objektif lawatan itu. Ini bertujuan menjadikan lawatan ke muzium ini memberikan kesan yang dikehendaki dan mencapai matlamat yang ditetapkan.



b) Selepas Lawatan.



Aktiviti selepas lawatan merangkumi usaha-usaha mentafsir, menganalisis segala maklumat yang telah dikumpulkan dan proses penilaian terhadap tugasan yang dibuat pelajar-pelajar oleh guru penyelia. Ini merupakan peringkat pembelajaran yang penting apabila pelajar-pelajar didedahkan dengan kaedah penyelidikan yang menggalakkan proses pemikiran kreatif dan kritis. Pelajar-pelajar mendapat dua pengalaman dalam lawatan ke muzium iaitu pengalaman sebagai pemerhati dan sebagai peserta dimana gabungan keduanya ini boleh mengayakan pengalaman pelajar-pelajar.

Selain itu, guru boleh meningkatkan tahap penguasaan ilmu pelajar terhadap topik pembelajaran dengan menyuruh mereka mencari maklumat-maklumat tambahan dengan merujuk sumber-sumber yang lain. Setiap maklumat yang didapati perlulah diproses oleh pelajar-pelajar dan membuat pnghuraian dan kesimpulan berdasarkan maklumat itu. Sekiranya terdapat isu-isu yang kurang difahami dan mengelirukan satu perbincangan lanjut perlulah dilakukan bersama-sama guru dan setiap hasil yang diperolehi oleh pelajar perlulah dipersembahkan kepada kelas. Ini bertujuan memberi kesan yang lebih baik dengan pandangan dan ulasan rakan-rakan pelajar. Hasil kajian melalui lawatan itu perlulah disediakan oleh pelajar sama ada dalam bentuk laporan kajian, karangan dan persembahan lisan.



Kesimpulan



Kaedah lawatan muzium yang menjadi salah satu daripada kaedah pengajaran sejarah ini berupaya meningkatkan minat dan kefahaman pelajar-plajar terhadap mata pelajar sejarah. Ini memberikan satu lagi dimensi dalam pendidikan sejarah kepada pelajar-pelajar dan sebagai satu alternatif pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan. Menerusi lawatan ini pelajar-pelajar mampu membina corak pemikiran yang lebih terbuka, toleransi dan lebih matang. Pelajar-pelajar didedahkan dengan nilai-nilai sejarah dan kebudayaan yang bernilai terutamanya dlam penyelidikan. Selain itu, pelajar sendiri telah melibatkan diri dalam kaedah penyelidikan yang melibatkan pemerhatian, pengumpulan maklumat, mentafsir maklumat, penulisan dan sebagainya.





Lampiran: Contoh bahan yang dipamerkan di Muzium.





G1: Batuan G2: Senjata Tradisional





G3: Barangan Tembaga & Logam G4: Muzium Diraja Perak, Kuala Kangsar







G5: Shiling Lama G6: Barangan Tembikar (Pottery)







DISEDIAKAN OLEH:

MOHD ZAHIRUDDIN BIN AB. SAMAT

D20031016054

Inilah sahaja yang aku mampu buat, kalau ada kekurangan jangan marah ek……



1 comments:

Sepi Sekali said...

Ini adalah salah satu kaedah pembelajaran sejarah yang sebenarnya jika dipraktikan ia mampu menghasilkan sesuatu..