? ??????????????Lost in the View? ????? ?? ???Rating: 4.1 (14 Ratings)??423 Grabs Today. 7406 Total Grabs.
??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????????????????????Snowy Winter? ????? ?? ???Rating: 4.2 (42 Ratings)??371 Grabs Today. 8818 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the C BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

15 February 2010

Sejarah Islam Di Asia Tenggara

PEMBERONTAKAN PATANI 1832


By: Khairuddin



1.0 PENGENALAN



Pemberontakan Patani 1832 merupakan satu rentetan daripada peristiwa-peristiwa pemberontakan yang berlaku sebelum itu. Menurut riwayat tradisi, pemberontakan yang berlaku ini merupakan antara peristiwa paling dahsyat yang pernah berlaku di antara Patani dengan Siam walaupun Patani sebelum itu pernah beberapa kali berperang dengan Siam. Ini kerana, pemberontakan Patani 1832 ini melibatkan seluruh kawasan negeri yang luas dan turut dibantu oleh orang-orang Kelantan dan Terengganu.1 Menurut Abdul Rahman Hj. Abdullah, pemberontakan ini telah melibatkan semua wilayah kecuali wilayah Yaring.2 Tambahnya lagi, pemberontakan ini merupakan satu proses pertempuran yang hebat di antara orang-orang Kedah dan Patani dalam menghadapi Siam dimana pertempuran ini turut dibantu oleh masyarakat dari Kelantan dan Terengganu.



Pemberontakan ini juga merupakan satu peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah masyarakat Patani ketika dibawah pemerintahan Tengku Sulong.3 Pemberontakan ini dikenali dengan nama “Musuh Patani” oleh kebanyakkan masyarakat Patani. Ini adalah disebabkan oleh kesan pemberontakan tersebut dimana pemberontakan ini akan menentukan sejarah Patani itu sendiri. Mana-mana pihak yang berjaya ataupun menang dalam pemberontakan tersebut akan menguasai Patani sementara pihak yang kalah terpaksa menyerah diri kepada pihak yang menang dalam satu tempoh masa yang panjang. Para pemerhati sejarah juga berpendapat bahawa sekiranya pemberontakan tersebut ditakdirkan memihak kepada orang Patani, maka wajah sejarah Patani akan menjadi berlainan daripada wajahnya pada masa sekarang ini.





2.0 PERISTIWA PEMBERONTAKAN 1832



Setelah dasar “Divide And Rule” diperkenalkan pada tahun 1816, Patani telah mengalami kemerosotan yang terutamanya daripada segi kekuatannya. Dasar ini merupakan satu dasar dimana “Negeri Patani Besar” dipecah kepada tujuh “Negeri Kecil” yang masing-masing dinamakan Nongchik, Jambu, Jalor (Yala), Teluban, Legeh (Range), Raman dan Patani. Di setiap kawasan tersebut, Siam telah melantik “raja-raja” yang terdiri daripada kalangan orang-orang yang berpihak kepadanya. Dalam dasar baru ini, Patani hanyalah merupakan sebuah kawasan kecil yang mempunyai keluasan tidak sampai 25 kilometer panjang iaitu dari Sungai Tok Jung di sebelah barat hingga ke Sungai Parit di sebelah timur.4 Daripada segi kedudukannya, Patani terletak di tengah-tengah tiga buah negeri iaitu Jambu dan Jalor di sebelah selatan dan Nongchik di sebelah barat.



Setelah itu, Siam telah melantik Tengku Sulong menjadi Raja Patani, dimana ibu negeri Patani terletak di Kerisek. Raja Patani sebelum itu, Nan Phai pula telah ditukarkan menjadi raja di Negeri Jambu yang baru diwujudkan melalui dasar “Divide And Rule” tersebut. Tengku Sulong yang menjadi Raja Patani ini dikatakan mempunyai pertalian dengan Raja Kelantan pada ketika itu. Menurut riwayat, sebelum Tengku Sulong dilantik Raja Patani, baginda terlebih dahulu dilantik menjadi “Raja Kelantan” dengan gelaran Sultan Sulung semasa mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Terengganu sekitar abad ke-18.5 Baginda dikatakan telah menjajah ke negeri lain selepas kematian isterinya dan menetap di Patani sebagai rakyat biasa.



Pada 1808, baginda telah turut serta dalam pemberontakan Dato’Pangkalan melawan Siam. Selepas pemberontakan tersebut, baginda telah dilantik sebagai Raja Patani selepas pengenalan dasar baru pada tahun 1816 oleh Siam. Sewaktu era pemerintahanya, bagunda dikatakan telah menyebarkan dan menggalakkan ajaran agama Islam di kalangan masyarakat Patani pada ketika itu dan seterusnya memajukan agama Islam di Patani. Menurut Ibrahim Shukri, dalam bukunya Sejarah Kerajaan Melayu Patani menyatakan bahawa, “pada masa Tuan Sulong dilantik oleh Siam menjadi Raja Patani, baginda sangatlah mengambil berat terhadap urusan agama Islam dan baginda inilah yang membina Masjid Pintu Gerbang yang masih ada bekasnya di Kampung Kerisek sehingga hari ini”.6



Pemberontakan 1832 ini telah bermula apabila Tengku Kudin, iaitu seorang kerabat Negeri Kedah telah bangkit memberontak melawan pendudukan Siam di Kedah pada tahun 1831 dan telah berjaya memaksa puak Siam berundur sehingga ke kawasan Senggora. Setelah berundur ke Senggora, orang-orang Siam ini telah bergabung dengan tentera Siam yang berada di Senggora dan juga Ligor bagi menentang dan mengalahkan semula orang-orang Kedah. Namun begitu, tentangan Siam pada kali ini juga tidak berjaya mengalahkan Kedah yang dipimpin sendiri oleh Tengku Kudin. Kemenangan pihak Kedah ini telah memaksa Siam berundur semula ke Senggora. Disebabkan keadaan semakin meruncing, Pesuruhjaya Siam di Senggora telah meminta bantuan daripada Bangkok untuk membantu menyerang Kedah. Pihak Bangkok pula telah menulis surat kepada Raja Nan Phai supaya mengerahkan raja-raja dalam enam buah negeri “Patani Kecil” untuk mengumpulkan rakyat masing-masing bagi membantu Siam menentang Kedah. Hanya empat orang raja sahaja iaitu raja Patani, Nongchik, Legeh dan Jalor yang bersetuju menghantar rakyat mereka membantu Siam manakala dua orang raja lagi telah menentang arahan tersebut.7



Setelah keempat-empat raja tersebut bersama-sama dengan rakyat berkumpul di Jambu dibawah kelolaan Raja Nan Phai, raja-raja ini telah memikirkan kembali tindakan mereka membantu Siam menentang suadara sesama Islam (orang-orang Kedah) mereka. Setelah memikirkan tindakan yang diambil, mereka telah bersetuju untuk menukar haluan dan bergabung dengan orang-orang Kedah menentang Raja Nan Phai dan juga pendudukan Siam di Patani. Ekoran daripada tindakan raja-raja tersebut, Siam telah menghadapi tekanan yang hebat dari dua penjuru yang berbeza dimana di sebelah barat, mereka terpaksa menghadapi Kedah manakala di sebelah timur pula, Siam terpaksa menentang orang-orang Patani. Menurut Ibrahim Shukri, pemberontakan yang berlaku ini telah menyebabkan ramai orang Siam terbunuh dan ramai juga yang telah melarikan diri ke Senggora. Walaupun orang-orang Siam melarikan diri, mereka terus diburu sehingga ke Theepa, Chenak dan sempadan Senggora itu sendiri.8



Selepas kekalahan Siam dalam pemberontakan tersebut, satu lagi pemberontakan berlaku di antara gabungan Patani-Kedah dengan Siam yang berlaku di Bukit Anak Gajah berdekatan degan Senggora. Dalam peperangan ini, pihak Siam telah menerima bantuan daripada angkatan tentera dibawah pimpinan Phra’ Khlang. Waluapun menerima bantuan ini, tentera Siam masih lagi belum mampu melawan orang-orang Patani-Kedah sehinggalah Tengku Kudin meninggal dunia dalam peperangan ini. Kematian Tengku Kudin telah menyebabkan pihak Patani-Kedah mengalami kekalahan teruk. Selepas kekalahan ini, orang-orang Kedah telah kembali ke Kedah manakala orag-orang Patani kembali semula ke Patani. Sementara itu, Phra’ Khlang telah bertindak dengan memecahkan angkatan tenteranya kepada dua bahagian bagi memburu orang-orang Kedah dan Patani.



Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan terseut, Kedah telah dirampas kembali oleh Siam. Namun begitu, Siam terpaksa mengambil masa yang lama untuk menduduki Patani ekoran daripada tindakan orang-orang Patani meminta bantuan daripada Sultan Kelantan dan Terengganu sebaik sahaja kembali ke Patani. Bantuan daripada Kelantan telah dipimpin oleh Raja Muda Kampung Laut, anaknya Tengku besar dan Raja Banggol manakala bantuan daripada Terengganu pula dipimpin oleh Panglima Tengku Idris, Wan Kamil dan Encik Ismail. Angkatan bantuan ini telah bergabung membentuk satu pasukan bagi mempertahankan Patani di medan pertempuran Patai sendiri.



Bagi melemahkan kekuatan Patani, Siam telah bertindak membakar semua “baloh padi” yang terdapat di dalam negeri Patani. Di samping itu, Siam juga telah menyekat bantuan makanan daripada luar. Tindakan Siam ini telah memberi tekanan kepada masyarakat Patani kerana menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan. Selain daripada tindakan tersebut, Siam juga telah mengambil kesempatan dengan membakar Masjid Pintu Gerbang di Krisek yang dikatakan dibina oleh Tengku Sulung. Pembakaran masjid ini memberi tamparan hebat kepada masyarakat Patani dan tindakan Siam ini telah menambahkan lagi kemarahan mereka kepada Siam.



Walaupun masyarakat Patani meneruskan pemberontakan dan serangan kecil-kecilan terhadap Siam, namun mereka terpaksa akur dengan kehebatan Siam. Strategi licik yang digunakan oleh Siam seperti menyekat bekalan makanan dan membakar “baloh padi” telah menyebabkan masyarakat Patani mengalami kekalahan dalam peperangan tersebut. Setelah gabungan Patani-Kelantan-Terengganu mengalami kekalahan dalam peperangan di Patani, wakil daripada Kelantan dan Terengganu telah berundur ke negeri masing-masing. Selain daripada itu, Raja Patani dan Raja Jalor juga turut melarikan diri ke Kelantan manakala Raja Nongchik dan Raja Legeh melarika diri ke Ulu Patani iaitu di sempadan Perak. Namun begitu, dalam usaha menyelamatkan diri ini, Tuan Kecik iaitu Raja Nongchik telah dibunuh oleh Siam mananakala Nik Dah, iaitu Raja Legeh berjaya melepaskan diri ke Perak.9



Setelah orang-orang Kelantan dan Terengganu berundur ke negeri masing-masing, Siam sekali lagi menyerang Patani. Dalam serangan ini, pihak Siam telah membunuh ramai rakyat Patani dan turut mencabul masyarakat Patani. Di samping itu, pihak Siam juga turut merampas harta dan peralatan perang dibawa ke atas kapal sebagai harta rampasan perang. Dalam peperangan kali ini, seramai 4000 rakyat Patani telah ditawan dan diheret ke Bangkok sebagai tawanan perang dan hamba abdi. Seterusnya, ekoran daripada perasaan tidak berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh Kelantan dan Terengganu kepada Patani, Siam telah bertindak melancarkan serangan ke atas negeri Kelantan dan Terengganu. Bagi menyelamatkan Kelantan daripada serangan Siam, Sultan Kelantan pada masa itu telah bersetuju mengantar utusan damai dan bersetuju utuk tunduk kepada pemerintahan Siam dengan membayar gantirugi sebanyak RM50,000.00. Selain daripada itu, Siam juga mengarahkan agar kerajaan Kelantan dan Terengganu menyerahkan kembali panglima-panglima Patani yang berlindung di negeri berkenaan terutamanya Tengku Sulung, Tengku Kundur, Panglima Damit, Panglima Mahmud dan sebagainya.10



Menjelang bulan September 1832, Siam telah mengubah semula sistem pentadbiran di Patani. Siam telah melantik seorang pembesar Melayu di Krisek iaitu Nik Yusoff sebagai Raja Patani bagi menganti Tengku Sulung. Baginda telah memerintah Patani sehingga tahun 1845 sebelum berpindah ke Jambu bagi memberi ruang kepada raja baru dari Kelantan iaitu Tengku Besar sebagai Raja Patani. Kekalahan Patani dalam pemberontakan pada tahun 1832 ini memberi kesan yang sangat teruk. Menurut cerita orang-orang tua, selepas pemberontakan 1832 ini masyarakat Patani hidup dalam kesukaran.11 Kesukaran ini terpaksa ditempuhi oleh masyarakat Patani ekoran daripada tindakan pihak Siam membakar simpanan padi mereka dan terpaksa menerima sekatan bekalan makanan daripada luar.



Namun begitu, dalam tempoh peralihan kuasa tersebut Patani dikatakan tiudak terlibat dalam sebarang peperangan mahupun pemberontakan. Patani dikatakan tidak terlibat dalam kejadian pemberontakan pada tahun 1838 hingga 1839 yang berlaku apabila pihak Kedah bangkit melawan Siam dibawah pimpinan Tunku Muhammad Saad dan Tunku Muhammad Taib. Menurut satu sumber lain, dalam pemberontakan yang berlaku di Kedah ini hanya melibatkan empat orang raja Patani sahaja manakala tiga orang raja Patani iaitu Raja Patani, Raja Yaring dan Raja Saiburi tidak terlibat.12 Selepas tahun 1832, dikatakan tidak wujud lagi peperangan yang besar di antara Patani dengan Siam walaupun ada peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku dan tidak begitu memberi kesan kepada masyarakat Patani.

3.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENCETUSKAN PEMBERONTAKAN PATANI 1832



Dalam mengkaji tentang peristiwa “Pemberontakan Patani 1832”, terdapat pelbagai faktor yang telah menyumbang kepada wujudnya gerakan pemberontakan ini. Persaan tidak puas hati dan semangat memperjuangkan agama Islam telah menjadi nadi kepada berlakunya gerakan pemberontakan dikalangan masyarakat Patani. Keadaan ini dapat dilihat kepada siri peperangan yang berlaku di antara Patani dengan Siam sejak Siam mula menjalankan dasar penaklukan ke atas Patani pada tahun 1603 lagi. Sejak daripada tahun itu, banyak peperangan yang telah terjadi sehinggalah kepada kejadian “Pemberontakan 1832” yang memberi kesan besar kepada sejarah Patani. Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada pemberontakan ini ialah :



3.1 Memperjuangkan Agama Islam

Bermula pada tahun 1603, kerajaan Siam telah memulakan usaha menakluki Patani. Namun begitu, walaupun mereka telah banyak kali melancarkan serangan, namun usaha yang dijalankan itu gagal mencapai matlamat mereka yang sebenar. Usaha kerajaan Siam untuk menakluki Patani berhasil apabila mereka berjaya menduduki Patani pada tahun 1785. Sebelum pendudukan Siam, Patani sememangnya terkenal sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam yang teragung berikutan penerimaan agama Islam dikalangan masyarakat Patani itu sendiri. Raja Patani ketika itu, Paya Tu Antara telah menganut agama Islam dan berjaya melahirkan Kerajaan Islam Patani Darul Salam. Kedatangan Islam dalam masyarakat Patani telah banyak membawa perubahan sama ada dari sudut akidah, akhlak, pemikiran, kebudayaan, bahasa, pendidikan, sosiopolitik, ekonomi dan sebagainya. Namun begitu, kejatuhan Patani kepada pemerintahan Siam telah menyebabkan kesucian agama Islam mula terancam dan dicemari dengan unsur-unsur yang tidak bermoral. Masalah ini telah menimbulkan reaksi tidak senang dan membangkitkan kemarahan masyarakat melayu Patani untuk memperjuangkan agama Islam.13 Masyarakat melayu Patani juga menganggap penjajahan yang dijalankan oleh Siam itu sebagai satu bentuk penghinaan dan menyalahi ajaran Islam. Oleh hal yang demikian, masyarakat melayu Patani perlulah membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Siam-Buddha yang menyeleweng sepenuhnya daripada konsep Islam.



3.2 Siam Menakluki Patani

Keistimewaan Kuala Sungai Patani sebagai laluan perdagangan antarabangsa telah menarik minak Siam untuk menakluki Patani. Kuala Sungai Patani ini merupakan jalan perdagangan yang paling sibuk disebabkan adanya kemudahan pelabuhan pada ketika itu. Kedudukannya yang strategik juga telah menambahkan lagi minat Siam untuk menjalankan dasar perluasan kuasa ke Patani. Di samping peranan Kuala Sungai Muda, tindakan Siam menjalankan usaha penaklukan ini turut disebabkan oleh perasaan marah dan sakit hati kerana tindakan Patani menyerang Ayuthaya pada tahun 1563. Selain itu, perasaan iri hati yang tebal terhadap pencapaian yang dinikmati oleh Patani sepanjang abad ke-17 dan bahagian pertama abad ke-18 juga turut menyumbang kepada dasar perluasan kuasa Siam ini.14 Dalam tempoh pemerintahan keempat-empat orang raja perempuan Patani iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu da Raja Kuning (1854-1686) merupakan zaman kemuncak kegemilangan sebagai sebuah empayar Islam dan pusat kebudayaan Melayu Semenanjung. Pencapaian ini telah menjadikannya sebagai satu elemen utama yang menarik minat Siam untuk menakluki Patani.15 Siam telah menjadikan “kempen” penaklukan ini sebagai satu agenda politik jangka panjang dan berterusan.



3.3 Perubahan Pemerintah Patani

Tindakan Siam melantik seorang pemimpin daripada kalangan orang Siam sendiri sebagai Raja Patani telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat Patani. Tindakan Siam melantik Raja Nai Kwan Sai adalah disebabkan perasaan marah kepada pemimpin sebelum ini yang dilantik daripada kalangan orang Melayu Patani yang telah mengkhianati Siam. Perlantikan Raja Nai Kwan Sai merupakan sejarah baru dalam perlantikan Raja Patani kerana buat pertama kalinya negeri Patani diperintah oleh orang bukan Melayu. Apabila Nai Kwan Sai mati pada tahun 1815,tempatnya sebagai Raja Patani diganti oleh adiknya, Nai Phai.16 Ekoran daripada perlantikan raja daripada bukan Melayu inilah yang telah mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah di antara orang-orang Patani dengan Siam. Perubahan yang berlaku dalam sistem pentadiran dan pemerintahan ini telah menyekat kebebasan orang-orang Melayu Patani daripada melakukan amalan keagamaan dan adat resam mereka. Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat Islam Patani dan mereka merasakan seolah-olah menumpang di tanahair sendiri.17



3.4 Pengenalan Dasar “Divide And Rule”

Semasa pemerintahan Nai Phai, negeri patani tidak pernah aman. Perbalahan dan pertumpahan darah sering berlaku di antara masyarakat Melayu Patani dan Siam. Ekoran daripada masalah itu, satu laporan telah dihantar ke Bangkok dan Siam akhirnya memutuskan bahawa satu dasar baru perlu diwujudkan di Patani. Dasar baharu ini mula diperkenalkan pada tahun 1816 da dikenali sebagai “Divide And Rule” dalam dunia politik dan penjajahan.18 Di bawah dasar ini, “Negeri Patani Besar” telah dipecahkan kepada tujuh buah “Negeri Kecil”. Setiap negeri yang dibentuk akan dilantik seorang raja dibawah petadbiran pesuruhjaya Siam di Ligor. Raja-raja yang dilantik ini hanyalah terdiri daripada kalangan orang-orang Patani yang boleh dipercayai dan memihak kepada pemerintahan Siam. Di samping itu, pengenalan dasar ini juga telah menjadi asas kepada pembentukan generasi baru, iaitu “Thai Muslim”. Melalui dasar ini, Siam juga telah menukarkan gelaran “Sultan” kepada “Raja”. Selain itu, dasar ini turut memberi tekanan kepada orang Melayu Patani apabila mereka dipaksa mempelajari bahasa Thai manakala Bahasa Melayu pula tidak dibenarkan diajar di sekolah-sekolah. Apa yang lebih jelas lagi dalam dasar ini adalah paksaan yang dikenakan kepada orang-orang Melayu Islam Patani dengan menyuruh mereka menyembah kepada Raja Thai dan patung-patung Buddha. Tindakan Siam ini bukan sahaja mencabar kewibaan dan kesucian agama Islam tetapi telah membangkitkan lagi kemarahan di kalangan penganut agama Islam di Patani.



3.5 Menuntut Status Autonomi

Sejak Siam menguasai Patani, kerajaan Siam telah melantik sendiri raja-raja Patani dikalangan orang Melayu Patani. Walupun kebanyakkan raja-raja yang dilantik terdiri daripada orang-orang Melayu Patani, namun kekejaman dan kezaliman yang dilakukan Siam terhadap masyarakat Melayu Patani menyebabkan orang-orang Patani tidak sanggup mentaati dan setia kepada pemerintahan Siam. Ekoran daripada inilah, lahirnya semangat kebangkitan dikalangan pemerintah Patani dan rakyatnya untuk membebaskan Patani daripada cengkaman Siam sehingga memaksa Siam melantik raja-raja Patani dikalangan orang-orang Siam. Tindakan Siam memburukkan lagi keadaan di Patani, apabila para pemimpin dan masyarakat Islam mula mengadakan beberapa siri pemberontakan menentang Siam dan peristiwa pemberontakan 1832 merupakan pemberontakan terpenting dalam sejarah Patani. Ini kerana, pemberontakan ini melibatkan banyak kawasan dan turut dibantu oleh beberapa buah negeri di Tanah Melayu. Pemberontakan yang diadakan ini bukan sahaja bertujuan untuk menyingkirkan Siam daripada tanahair mereka, tetapi ia juga adalah bertujuan untuk mendapatkan hak di wilayah mereka semula.19



3.6 Hubungan Patani – Kedah

Hubungan Patani – Kedah juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peristiwa “Pemberontakan 1832” ini. Ini kerana, pemberontakan ini bermula semasa pemerintahan Tengku Kudin. Baginda mula bangkit memberontak melawan pendudukan Siam di Kedah pada tahun 1831. Ekoran daripada penentangan daripada Tengku Kudin ini, Patani cuba mengambil kesempatan daripada kejadian tersebut untuk turut menentang Siam. Tindakan Patani ini lahir daripada semangat ingin melawan dan bebas daripada pengaruh luar. Patani bangkit melawan Siam setelah mereka terpaksa akur kepada kekalahan dalam tahun 1785 dimana pada tahun tersebut Patani jatuh ke bawah pemerintahan Siam. Pemberontakan 1832 ini merupakan kemuncak kepada hubungan Patani – Kedah, kerana kedua-dua pihak telah bergabung menghadapi serangan Siam sehingga mereka berjaya mengusir Siam daripada Kedah. Namun begitu, setelah Siam meminta bantuan daripada Bangkok dan kematian Tengku Kudin dalam peperangan tersebut menyebabkan pertahanan Patani – Kedah mulai longgar dan Kedah terpaksa berundur semula ke negerinya. Patani pula terpaksa menerima hakikat bahawa mereka terpaksa diperintah oleh Siam sekali lagi.20



4.0 KESAN-KESAN PEMBERONTAKAN PATANI 1832



Pemberontakan Patani 1832 telah memberi kesan yang cukup mendalam bukan sahaja kepada keadaan negeri Patani tetapi juga kepada masyarakat Patani itu sendiri khususnya masyarakat Melayu Islam Patani. Pemberontakan Patani 1832 ini dikatakan pemberontakan yang paling penting dan dahsyat dalam sejarah negeri Patani. Para pemerhati sejarah berpendapat bahawa sekiranya negeri Patani berjaya dalam pemberontakan tersebut, sudah pasti sejarah negeri Patani akan berlainan daripada apa yang kita saksikan sekarang. Antara kesan yang timbul daripada peristiwa “Pemberontakan Patani 1832” ini ialah :



4.1 Migrasi

Setelah Patani mengalami kekalahan dalam pemberontakan pada tahun 1832 tersebut, ramai masyarakat Patani yang berhijrah ke luar terutamanya ke negeri-negeri Tanah Melayu seperti terutamanya Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan sebagainya bagi meneruskan kehidupan mereka.21 Migrasi yang berlaku dikalangan penduduk Patani ini adalah disebabkan oleh kesukaran dan kesusahan penduduk Patani dalam menjalani kehidupan seharian. Penduduk-penduduk Patani terpaksa menempuh kesukaran hidup disebabkan oleh tindakan Siam membakar semua simpanan padi semasa berlakunya peperangan dan menyebabkan harga padi untuk dibuat benih menjadi semakin mahal. Selain daripada itu, penduduk Patani juga terpaksa menerima tekanan ekoran daripada sekatan terhadap kemasukan bekalan makanan daripada luar. Ini menyebabkan penduduk Patani terpaksa memakan umbut dan pucuk-pucuk kayu sebagai makanan harian mereka.



4.2 Kerugian Harta Benda Dan Sumber Manusia

Di samping itu, pemberontakan yang tercetus di antara Patani dengan Siam juga turut menyebabkan kerugian harta benda dan juga sumber manusia. Kerugian harta benda ini jelas dapat dilihat daripada tindakan Siam yang membakar kesemua “baloh padi” dalam negeri Patani sehingga memberi kesan kepada penduduk-penduduk Patani. Selain daripada itu, sekatan makanan daripada luar juga turut menyekat hak para penduduk Patani daripada mendapatkan bantuan makanan daripada luar. Tindakan Siam membakar Masjid Pintu Gerbang di Kerisek juga turut memberi gambaran kepada kita tentang kemusnahan yang berlaku di Patani semasa peristiwa “Pemberontakan Patani 1832” ini. Manakala dari sudut sumber manusia pula, kita dapat melihat dengan jelas senario pembunuhan ramai penduduk Patani serta penahanan 400022 orang penduduk yang dijadikan sebagai tawanan perang dan hamba abdi. Manakala dalam satu sumber lain, ada menyatakan bahawa kepulangan angkatan bantuan daripada Kedah, Kelantan dan Terengganu telah menyebabkan Siam melakukan serangan dan bertindak menyeksa umat Islam Patani. Penderitaan penduduk bandar Patani yang berjumlah 54,000 orang tidak dibela oleh sesiapun. Menurut sumber itu lagi, seramai 6000 orang telah dibawa ke Kota Bangkok sebagai tawanan perang dan daripada jumlah tersebut, seramai 4000 orang telah berjaya melarikan diri memasuki negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Langkat di Timur Sumatera dan seluruh Kepulauan Nusantara.23



4.3 Patani Di Bawah Naungan Siam

Kekalahan Patani dalam pemberontakan tersebut juga memaksa Patani berada dibawah naungan Siam sekali lagi. Kejatuhan Patani dibawah pemerintahan Siam telah mengubah sistem pentadbiran Patani. Raja-raja melayu digantikan dengan pegawai Siam yang dilantik sebagai gabenor di huamuang.24 Semua urusan pentadbiran telah diubah ke dalam bahasa Siam dan semua jawatan-jawatan kecil seperti kerani juga turut dilantik dikalangan orang-orang Siam yang dibawa daripada Bangkok. Senario ini menimbulkan masalah kepada orang-orang Melayu kerana pegawai-pegawai yang bertugas tidak mengetahui bahasa dan adat resam masyarakat tempatan. Ekoran daripada itu, tindakan dan perbuatan pegawai Siam selalu menyinggung perasaan orang-orang Melayu serta mengundang kemaharan dikalangan masyarakat melayu tempatan pada ketika itu. Di samping itu, para pegawai Siam juga turut terlibat dalam rasuah dan penyeludupan sehingga mengabaikan pembangunan sosial dan ekonomi Patani terabai. Hal ini dapat ditegaskan lagi dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh seorang pegawai Inggeris iaitu Holt Hallet yang tiba di Patani, dimana beliau menyatakan kelemahan pentadbiran Siam di negeri-negeri Melayu yang dijajahnya. Jelas beliau lagi, sikap para pegawai Siam yang memerintah Patani sama sekali tidak boleh dipercayai. Mereka sentiasa tidak jujur dalam urusan pentadbiran, sering terlibat dalam perbuatan rasuah, penyelewengan dan setiap rancangan pembangunan ekonomi rakyat hanya bergantung kepada kebolehan Raja Siam di Bangkok.25 Ketidakstabilan pentadbiran Siam inilah yang menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu Patani kerana mereka tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran yang diperkenalkan oleh Siam.



4.4 Berlakunya Penentangan Di Kalangan Rakyat

Pemberontakan ini juga telah melahirkan lebih banyak penentangan di kalangan rakyat Patani. Dalam pada itu, corak pemerintahan autokrasi mula dipraktikkan dalam sistem pemerintahan Patani. Orang-orang Melayu Patani dipaksa membayar cukai atau hasil kepada kerajaan yang kemudiannya dihantar ke Bangkok. Para pegawai Siam yang dilantik hanya mementingkan diri dan tidak menjaga kebajikan rakyat Patani. Penyalahgunaan kuasa oleh para pegawai juga telah memburukkan lagi keadaan sehingga menimbulkan kemarahan dikalangan masyarakat Patani sehingga mereka merancang dan melaksanakan beberapa siri penentangan terhadap Siam.



4.5 Siamisasi Masyarakat Melayu Patani

Selain daripada itu, kesan jangka panjang yang diterima daripada kekalahan dalam peristiwa “Pemberontakan Patani 1832” ialah dasar mensiamisasikan masyarakat Melayu Patani. Peristiwa rampasan kuasa pada 24 Jun 1932, telah menukar corak pemerintahan beraja mutlak kepada pemerintahan berpelembagaan. Phibul Songram yang pada ketika itu memerintah Patani pada penghujung tahun 1938 telah memberi tekanan kepada masyarakat patani khususnya melalui pengenalan dasar “Rathaniyom”. Dasar ini adalah bermatlamatkan fahaman kebangsaan dengan menyatakan bahawa “Rakyat Thai” ialah mereka yang bertutur dalam bahasa yang sama, agama yang sama, dan kebudayaan yang sama.26 Agama Buddha juga telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Thailand. Selain itu, pelbagai undang-undang baru juga turut diperkenalkan seperti undang-undang berpakaian cara barat dimana golongan lelaki dikehendaki memakai seluar dan bertopi, manakala golongan perempuan pula memakai gaun dan berbaju pendek.









5.0 KESIMPULAN



Setelah mencapai zaman kegemilangannya selama lebih setengah abad dibawah pemerintahan ratu-ratu, Patani mula mengalamai zaman kemerosotan. Bibit-bibit kemerosotan ini mula kelihatan pada akhir pada abad ke-17 ekoran daripada serangan dan usaha penaklukan yang dijalankan oleh Siam. Setelah menghadapi beberapa siri peperangan dan penentangan, Patani akhirnya jatuh ke tangan Siam pada tahun 1785. Bermula dengan era dibawah pemerintahan Siam inilah, masyarakat Patani mula hidup dalam zaman penuh dengan penderitaan, penghinaan, kemiskinan dan kehilangan hak terhadap tanahair sendiri. Kebangkitan masyarakat Patani dalam menentang Siam wujud disebabkan kesedaran mereka terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh Siam. Masyarakat Melayu Patani mula memberontak demi memperjuangkan dan menegakkan agama Islam yang terus terancam akibat tindakan kejam daripada pemerintah Siam. Peristiwa “Pemberontakan Patani 1832” ini telah banyak memberi kesan kepada sejarah Patani. Kesan ini masih dapat dilihat dengan jelas sehingga hari ini walaupun peristiwa tersebut telah berlalu hampir 200 tahun. Jika dilihat pada masa kini, masyarakat Patani masih lagi meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin yang terdahulu dalam memperjuangkan dan menuntut hak mereka yang sama dengan masyarakat Thailand yang lain. Namun begitu, perjuangan yang dijalankan oleh masyarakat Patani pada hari ini masih lagi belum berjaya dan semakin membimbangkan apabila berlakunya kejadian yang tidak diingini.





















BIBLIOGRAFI

Buku

Abdul Rahman Abdullah. (1994). Gerakan Anti Penjajahan Di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama Dan Tarikat. Perak. Penerbitan Kintan Sdn.Bhd.



Abdul Rahman Abdullah.(2000). Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara : Sebelum Dan Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur. Utusan Publishing & Distributors Sdn.Bhd.



Ahmad Fathny al-Fatani.(1994). Pengantar Sejarah Patani. Kedah. Pustaka Darus Salam



Ahmad Omar Champakia.(2000). Politik Thai Dan masyarakat Islam Di Selatan Thailand. Kedah. Pustaka Darus Salam



Ibrahim Syukri.(2002). Sejarah Kerajaan Melayu Patani. Kuala Lumpur. Universiti Kebangsaan Malaysia



Mohd. Zamberi A. Malek.(1993). Umat Islam Patani : Sejarah Dan Politik. Shah Alam. Hizbi.



Mohd. Zamberi A. Malek.(1994). Patani Dalam Tamadun Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka



Akhbar

T.S Michael. Utusan Malaysia. (10/12/2004). “Iktiraf Jati Diri Patani”

0 comments: