? ??????????????Lost in the View? ????? ?? ???Rating: 4.1 (14 Ratings)??423 Grabs Today. 7406 Total Grabs.
??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????????????????????????Snowy Winter? ????? ?? ???Rating: 4.2 (42 Ratings)??371 Grabs Today. 8818 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the C BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

15 February 2010

ISLAM DAN POLITIK DI MALAYSIA ABAD KE-20




PENGENALAN



Islam merupakan agama berteraskan fitrah manusia yang dipraktikkan dalam apa jua keadaan. Ini kerana Islam diasaskan atas kaedah memenuhi semua keperluan dan hak yang diperlukan oleh setiap manusia. Lantaran itu, Islam boleh di amalkan dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan keturunan. Politik seringkali disebut siasah mempunyai pertalian yang kukuh dangan Islam. Malahan, politik itu sendirinya sebahagian daripada Islam. Walapun maksud politik dijuruskan pada politik pemerintahan atau bernegara, kita masih akan menemui kaitan yang amat kuat antara politik dan Islam. Abu ‘Ala al-Maududi menjelaskan bahawa manusia memerlukan pemerintahan atau hidup bernegara kerana mereka perlu melaksanakan amar ma’aruf dan nahi mungkar. Tanpa pemerintahan atau pemusatan kausa, mustahil perkara ini dapat dilaksanakan dan ini akan mengakibatkan kemusnahan negara dan agama.

Jika kita mengukur definisi politik dari segi parti politik dan pilihanraya dalam sesbuah negara yang mengamalkan demokrasi (di Malaysia, demokarsi berparlimen),kita juga akan menemui jalinan yang padu antara politik dan Islam. Ini didasarkan pada beberapa perkara, iaitu keperluan pada kuasa untuk menegakkan syiar Islam. Sistem Islam tidak dapat dilaksanakan tanpa kuasa atau teraju pemerintahan yang memntingkan Islam. Namun, kejayaan sistem politik dalam Islam amat bergantung pada kualiti meerka yang bergelar ahli politik. Justeru, Islam dan Politik mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Di Malaysia Islam dan Melayu dianggap sebagai dua komponen identiti yang tidak boleh dipisahkan. Melayu ialah Islam dan Islam itu ialah Melayu. Kenyataan ini turut diperjelaskan oleh Za’ba. Identiti yang sudah diterima sebagai mutlak ini turut termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Melayu- Islam sebagai satu identiti yang jelas wujud dengan terbentuknya kerajan Melayu Melaka sebagai kota peradaban Melayu telah mengukuhkan identiti Melayu-Islam yang diwarisi hingga kini. Ekoran itu, Islam yang dikaitan dengan identiti Melayu mendominasi politik di negara ini.

Dalam penulisan ini, kita akan melihat Islam dan politik di Malaysia pada abad ke-20. Dalam konteks ini, Islam dikaitkan dengan kebangkitan kesedaran politik pada awal abad ke-20 dan berlangsungan sehingga ke hari ini. Pada awal kebangkitan kesedaran politik, golongan agama dilihat sebagai golongan pencetus atau penggerak yang memperjuangkan Islam yang sebenar berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah serta menyedarkan orang Melayu untuk menentang penjajah. Seterusnya, wujud gerakan-gerakan yang berorganisasi selepas Perang Dunia II. Dasar perjuangan masih berteraskan Islam dan nasionalisme Melayu. Ekoran itu, muncul parti-parti politik seperti UMNO dan PAS. UMNO dikatakan berjaya mendapat kemerdekaan bagi Tanah Melayu dan menjadi teraju dalam tampok pemerintahan Malaysia sehingga ke hari ini. Selain itu, penulisan ini juga menunjukkan, Islam menjadi idealogi-idealogi atau landasan parti-parti Muslim di Malaysia pada abad ke-20.



ISLAM DAN KESEDARAN POLITIK MELAYU.



Dalam abad ke-20, Muslim di Malaysia telah mengalami beberapa perubahan berfikir dalam menghadapi agama oleh sebab pertembungan dunia Islam dan peradaban Barat dan tafsiran aspek-aspek Islam secara rasional yang mula ditimbulkan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh yang menjadi pelopor pembaharuan terhadap Islam di Afghanistan dan Mesir. Idea-idea baru terhadap Islam oleh kedua-dua pemuka kebangkitan Islam di bawa ke Tanah Melayu oleh Syed al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaludin. Ekoran itu, muncul pula golongan literati Melayu yang mempunyai ilmu pengetahuan Islam yang lebih luas dan terbuka, kedudukan mereka ini sangat kritis tentang kedudukan Muslim di negara ini. Mereka berpendapat bahawa keruntuhan dan kemunduran masyarakat Islam yang rata-rata berlaku di negara ini berpunca daripada kegagalan umat Islam untuk memahami dan mematuhi lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam.

Golongan literati Melayu menjadikan persuratkhabaran sebagai medium untuk menimbulkan kesedaran Melayu sebelum Perang Dunia II, institusi pendidikan agama khususnya madrasah juga turut memainkan peranan penting sebagai titik permulaan kepada usaha menimbulkan kesedaran sosial dan politik masyarakat Melayu. Hasil daripada kesedaran ini, maka lahirlah beberapa majalah seperti al-Imam, al-Neraca dan gerakan-gerakan Islah yang dipelopori oleh Kuam Muda. Islam dijadikan landasan dan teras perjuangan. Ini jelas menunjukkan bahawa, Islam bukan sahaja mempengaruhi Muslim di Malaysia dalam hal-hal berkaitan dengan ibadah sahaja tetapi juga unsur-unsur yang bercorak keduniaan seperti politik.



KAUM MUDA

Gerakan reformis Islam di Malaysia pada awal abad ke-20, telah digerakkan oleh segolongan penuntut yang mendapat pendidikan daripada Timur Tengah. Di antaranya seperti Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Taha, Syeikh Muhammad Tahir, Haji Abbas Taha. Setelah kembali dari Timur Tengah khasnya Mesir, golongan ini berkhidmat dalam jabatan-jabatan agama di negeri-negeri Melayu. Disebabkan fahaman mereka berkenaan dengan Islam bertentangan dengan fahaman dan kepercayaan bidaah dan khurafat yang telah berakar umbi di negeri-negeri Melayu, mereka mendapat tentangan daripada golongan ulama tua yang ortodok yang dikenali sebagai Kaum Tua. Perkembangan pengaruh Kaum Muda di Tanah Melayu membuka lembaran baru dalam sejarah social orang Melayu. Faktor yang menyatukan pengikutnya berteraskan persamaan fahaman mereka terhadap Islam. Islam difahami bukan sekadar sesuatu ibadah tetapi mencakupi aspek kehidupan. Kewujudannya bukan sahaja mencabar cara hidup tradisi masyarakat Melayu, tetapi turut mengancam kedudukan golongan ulama konservatif juga.

Mereka mengalakkan ijtihad dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat. Untuk meyebarkan fahaman ini mereka menerbitkan majalah dan akhbar sendiri. Mereka memberi sumbangan dalam penyatuan Melayu. Islam dijadikan asas penyatuan yang terpenting. Kaum Muda juga bertanggungjawab menanamkan semangat anti-golongan permbesar dan raja-raja Melayu, serta anti-kolonial British di kalangan orang Melayu. Dapat dikatan bahawa Kaum Muda berjaya meletakkan Islam di tengah-tengah pentas politik Melayu, dimana ia membawa ke hadapan tema sosio-politik yang substantif dalam wacana Islamik yang melampaui tumpuan tradisional yang hanya berkisar pada persoalan ibadat dan hukum hakam kehidupan akhirat. Kemunculan dan kemerosotannya juga mempamerkan unsur sintesis dan simbiosis dalam politk Melayu-Muslim. Mulai tahun 1950an, Islam dengan sendirinya semakin bersifat “modenis”.



AKHBAR DAN MAJALAH



Pada tahun 1906, akhbar al-imam telah diterbitkan oleh sekumpulan pendukung gerakan islah iaitu Syeikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Haji Abbas Taha. Mereka ini terpengaruh dengan perkembangan yang berlaku di Timur Tengah yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad Abduh, Rashid Rida yang menerbitkan majalah al-Manar, dan Jamaluddin al-Aghani. Majalah yang pertama yang meniup seruan Islah Islamiyah di Nusantara, dimana kemunculan al-Imam banyak implikasi penting kepada kesedaran politik Melayu. Al-Imam merupakan salah satu majalah bulanan yang diterbitkan oleh Kaum Muda. Al-Imam menyeru orang Melayu dan muslim supaya “bangun dari tidur” dan menilai kedudukan diri sendiri dalam hubungan denagn keadaan dunia yang banyak berubah.

Aspek kemunduran sosial, ekonomi dan politik Melayu dijadikan tema penting dalam tulisan-tulisan yang termuat dalamnya, tetapi kesemuanya itu dilihat dari persektif kerangka pemikiran Islam. Menurut Abdul Aziz Mat Ton dalam bukunya Politik al-Imam, akhbar al-imam yang cuba menimbulkan kesedaran orang Melayu merupakan sebuah penerbitan politik yang turut memperjuangan kemerdekaan bangsa. Manakala William Roff menyatakan bahawa agamalah yang menjadi perhatian utama al-Imam, hampir semua daripada 31 keluaran majalah al-Imam menceritakan masalah-masalah masyarakat Melayu dan menenrangkan Islam yang sebenar.

Selain daripada itu, al-Imam juga menyusulkan suatu pembaharuan pada system pembelajaran Islam. Menurutnya, sistem pelajaran Islam haruslah didasarkan pengajaran rukun dan hokum yang benar dan dengan dasar ini mata pelajaran bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan lain-lain yang bersangkut dengan pelajaran moden hendaklah diajarkan. Disamping itu, mengalakkan pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selain itu, terdapat ruangan soal jawab berkaitan dengan hukum, rukun, soal keperluan untuk kembali kepada al-Quran dan al-hadis dan melakukan taklid bukan ijtihad semata-mata. Al-Imam di lihat sebagi suatu penyimpangan yang radikal dalam lapangan penerbitan Melayu. Cita-cita dan kepentingan yang diperjuangan oleh Al-Imam ini merebak dan meluas sehingga terdapat gerakan permulaan dan perkembangan hampir di setipa lapangan hidup orang Melayu.

Walaupun perjuangan al-Imam tidak secara terbuka menjadikan penjajah sebagai sasaran utamanya, namun perjuangannya mengarah kepada seruan supaya orang Me;ayu membina jati diri bangsa dengan memahami agama Islam yang dianuti dalam ertikata yang sebenar bagi memperbaiki status kehidupan mereka. Al-Imam tidak menyalahkan Islam sebagai satu agama yang menyebabkan kelemahan orang Melayu, tetapi sebagainya menyalahkan Muslim itu sendiri dan para ulamanya kerana tidak bersifat dinamik. Orang Melayu juga dipersalahkan kerana kehidupan mereka masih dibelengu oleh kejumudan yang menyebabkan mereka gagal menangani cabaran semasa bagi mewujudkan masyarakat Islam yang berdaya saing.

Gagasan pemikiran al-Imam yang bersumber dari Timur Tengah merupakan manifestasi pengaruh rantau tersebut dan mengunakan saluran persuratkhabaran bagi mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu. Peranan al-Imam sebagai jurucakap terawal gerakan reformis Islam di Tanah Melayu sudah diakui oleh ramai sarjana. Pengaruh Islam terhadap kesedaran politik atau sebagai teras yang mempengaruhi pemikiran politik bangsa Melayu sehingga kini. Selepas al- Imam memberhentikan penerbitannya, muncul akhbar-akhbar Melayu seperti Neracha (1911), Tunas Melayu (1913), al-ikhwan, penagsuh (1917-1932), Bahtra, Idaran Zaman, Utusan Melayu (1907-1921) dan Lembaga Melayu (1914-1931), yang mana isi kandungan masih berkisar kepada agenda pemikiran islam yang menyeru orang Melayu menjadi umat Islam yang progresif bagi menghadapi cabaran yang sedang melanda Muslim di negara ini.





MADRASAH-MADRASAH



Selain lahirnya akhbar-akhbar berbenuk gerakan Islah Islamiyyah muncul madrasah-madrasah yang berlairan Islah. Melalui penubuhan madrasah-madrasah ini, konsep keislahan menjadi semakin efektif . sebagi contoh, Madrasah Iqbal al-Islamiyyah yang ditubuhkan di Singapura pada 1907 telah merintis kepada penubuhan beberapa buah Madrasah di Malaysia pada awal abad ke-20. D Pulau Pinang, Madrasah al-Mashhnur al-Islamiyyah dibangunkan. Syed Syeikh al-Hadi menawarkan tenaganaya sebagai Mudir, manakala abu Bakar pula mengwakafkan tanahnya di Teck Soon Street, di tengah-tengah bandar Pulau Pinag untuk dijadikan tapak bangunannya. Dengan kewujudan Madrasah ini memperkukuhkan lagi gerakan Islah di Tanah Melayu.

Manakala di Perak, Madrasah Idrisiah didirikan di Kuala Kangsar di bawah pimpinan Syeikh Abdullah Magribi. Madrasah yang dianggap ke hadapan dalam mengerakkan kesedaran sosial dan politik masyarakat Melayu ialah Madrasah Diniah, Perak. Penubuhan madrasah Al-Diniah Kampung Lalang, Padang Rengas di Perak pada 1934 adalah hasil oleh Haji Ismail Moin, Muhammad Zain Abdul Majis, Abu Bakar dan lain-lain. Madrasah-madrasah al-Diniah menjadi tempat berteduh pejuang Melayu menentang British. Madrasah ini penting dalam perkembangan kesedaran di kalangan orang Melayu kerana ia merupakan madrasah yang terawal yng mengajar bukan sahaja mata pelajaran Agama tetapi turut memasukkan ke dalam kurikulum pelajaran bukan agama dan kegiatan sara diri yang menuju ke atas kebebesan ekonomi. Penduduk di sekitar Padang Rengas waktu itu memandang madrasah tersebut sebagai agent of change yang berjaya mengubah sikap penduduknya. Selepas Perang Jepun, keradikalan gerakan Islah ini berpindah di Maahad II Ihya Assyarif Gunong Semanggol. Madrasah ini merupakan sebahagian daripada ratusan institusi pengajian agama dan politik masyarakat Melayu sebelum Perang Dunia II







SELEPAS PERANG DUNIA II



Selepas Perang Dunia kedua, nasionalisme dan Islam menjadi isu utama dalam politik Muslim di Malaysia. Gerakan Islah terutamanya Maahad II Ihya Assyarif Gunong Semanggol, Perak yang bergiat aktif dalam politik Tanah Melayu menubuhkan organisasi seperti Majlis tertinggi agama (MATA) 1947, Perekonomian melayu Se- Melaya (PEPERMAS), Hizbul Muslimim (1948) dan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR). Parti-parti ini mempunyai program yang tersusun. Usia Hizbul Muslimin dalam perjuangan politik di tanah Melayu tidak panjang apabila ia diharamkan oleh British selepas beberapa bulan penubuhannya. Perjuangan Hizbul Muslimin diteruskan dengan penubuhan PAS pada tahun 1951. Penubuhan PAS menjadi saingan kepada UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 yang juga memperjuangkan aspirasi Melayu Islam. Sejak pilihan raya yang diadakan pada tahun 1955 hinggalah pilihan raya ke-10 yang diadakan pada tahun 1999 (kecuali pilihan raya ke-4 pada tahun 1974 apabila PAS bersama-sama UMNO dalam kerjaan Barisan Nasional) kedua-dua parti ini bersaing bagi mendapatkan sokongan orang Melayu dan menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan.



ISLAM DAN POLITIK MELAYU SELEPAS MERDEKA



Dalam tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah Inggeris dan perlembagaan negara yang baru menetapkan Islam sebagai agaam, persekutuan. Ini adalah peristiwa menetapkan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia, semenjak berlakunya penjajah di negara ini pada tahun 1511. Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963 juga mengekalkan taraf Islam sebagai agama persekutuan.

Di Malaysia, Islam di laksanakan sebagai “addeen” iaitu Islam sebagai 1 cara hidup yang lengkap pengamalannya, tidak sekadar terbatas kepada persoalan ibadah sahaja tetapi merangkumi aspek persoalan politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Justeru itu, posisi Islam bukan sahaja sebagai agma rasmi Malaysia tetapi Islam mempengaruhi kedudukan politik Melayu.

Taufik Abdullah menyatakan bahawa Islam merupakan sebahagian daripada nasionalisme Melayu. Sikap terhadap islam di kalangan kelompok Melayu semakin kukuh sebagai taruhan politik. Berlaku pertembungan politik di kalangan orang Melayu kerana terdapat perbezaan dari segi interprestasi keutamaan oleh Kemlompok-kelompok Umat Islam yang bersaing yang terdiri daripada pendukung UMNO dan PAS. PAS secara jelas menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan dan UMNO, walaupun tidak menyatakan perkara itu sejelas PAS, turut menjadikan Islam sebagai komponen penting perjuangannya.



LATAR BELAKANG UMNO DAN PAS



United Malays National Organization (UMNO) ditubuhkan pada 1hb Mac 1946, sebagai manifestasi kemuncak nasionalisme Melayu yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Dato Onn Jaafar menjadi Yang Dipertua Agung yang Pertama. Sebelum penubuhan UMNO, telah wujud api nasionalisme Melayu dan UMNO telah menyempurnakannya. Ekoran itu, politik Malaysia lebih berbentuk dominasi Melayu. Perkara yang jelas dapat dilihat sehingga hari ini, orang Melayu menjadi kekuatan politik daripada parti UMNO. Lebih 40 tahun lamanya orang Melayu mendapat tempat teguh untuk bersandar dalam bidang yang luas hanyalah pada UMNO.

Dalam merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Umno telah meletakkan ciri-ciri kemelayuan yang besar terutamnayanya dalam soal hak-hak istimewa orang Melayu. Peruntukkan tersebut sudah jelas menunjukkan UMNO memelihara kepentingan Melayu di Tanah Pusakanya. Sebagai sebuah Parti Melayu, Umno bertunjangkan 100% kepada Melayu. Walau bagaimanapun, penubuhan UMNO yang bercirikan Kemelayuan yang tulen berasaskan nasionalisme, sedikit demi sedikit diisi oleh Islam dan pragmatismenya sebagai simbol kekuatan perpaduan dan imej orang Melayu. Oleh kerana itu, Islam merupakan agama Persekutuan maka Melayu itu sinonim dengan Islam dan kekuatan orang Melayu dalam UMNO bererti kekuatan Islam.

Usaha UMNO memperjuangkan Islam telah lama dilaungkan sejal awal penubuhannya. Keadaan ini bertambah nyata dalam era kepimpinan Dr. Mahathir. Tindakannya mempelawa Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan memberi kedudukan penting dalam kabinenya, ampak “simbolik’ iaitu melambangkan pendirian dan cita-citanya menjadikan Islam sebagai force dalam pentadbiran negara.

Manakala PAS, lahir daripada ahli-ahli UMNO. Dasar UMNO yang sentiasa berubah-rubah terhadap dasar yang berkaitan dengan Islam antara sebab wujudnya PAS ini. Golongan agama PAS tidak berpuas hati terhadap UMNO sebagai sebuah parti yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Pada mul;anya, PAS dikenali sebagai Persatuan Ulama Se-Malaya yang wujud dalam UMNO. Tetapi Persatuan ini mendapati cita-cia Islam tidak boleh digunakan dalam UMNO, keranan itu 1 parti Islam perlu dilahirkan untuk mensatukan golongan yang mahukan Islam. Tidak dinafikan Hizbu’l Muslimin walaupun diharamkan oleh British, memainkan peranan penting dalam politik tanah air. Kepentingannya dilihat di lihat sebagai parti poltik yang pertama memperjuangan nasionalisme Melayu dan Islam.

PAS didaftarkan secara rasmi oleh Pendaftran Pertubuhan pada 31 Mei 1965. Dr. Abbas Alias dipilh sebagai yang Dipertua Agong Pas yang pertama. PAS bertujuan “menggembleng Muslim ke arah melaksanakan tuntutan Islam (untuk mencapai) demokrasi, keadilan sosial dan humanitarianisme” (Ibnu Hasyim:30). Dari awal, PAS ingin menjadi platfom untuk menyatukan golongan yang berorientsikan Islam untuk mencabar golongan sekular yang berkiblatkan Barat dalam UMNO. Dengan tertubuhnya PAS lahir tokoh-tokoh baru pimpinan PAS. Antaranya Dr. Burhanuddin dan Prof. Dzulkifli Muhammad. Semasa PAS dibawah pimpinan mereka semasa era ketiga pimpinan PAS, Dr. Burhanuddin Helmy menekankan fahaman kebangsaan dan Islam yang lebih jelas berhaluan reformis.





Di dalam falsafah Kebangsaan Melayu Dr. Burhanudddin menyebut:

Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi sebagi alat atau tunggangan yang menyampaikan akhirat”



Idea sintesis antara Islam reformasi, demokrasi, nasionalisme dan sosilisme yang dibawa oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi menguasai oreintasi ideologi PAS selama dua dekad. Burhanuddin mempertahankan “Nasionalisme Melayu dengan cita-cita Islam” anjurannya itu bersifat progresif dan humanitarian yang bersesuian denagn Islam yang tidak perlu dibimbangi oleh kaum bukan Melayu. Namun ia merupakan masionalisme yang mnyeru kepada pengiktirafan Melayu sebagai pentakrif identiti mnasional dan kaum melayu sebagai “pemilik tanah air yang sah” di mana kaum bukan Melayu di alu-alukan sebagai warga hanya jika mereka bersedia mengorbankan identiti budaya dan bahasa mereka (W. Mohd Azam, 1997: 83-114).

PAS di bawah kepimpinan Datuk Asri Muda (1962-1982) setelah mengambil alih tempat Dr. Burhanuddin adalah masa peralihan di antara fahaman kebangsaan yang kian malap kepada fahamaan fundamentalisme islam yang mencabar sejak awal 80-an. Kini, PAS dipimpin oleh ulama yang membawa semangat perjuangan Islam sejagat yang kurang senang dengan nasionalisme. PAS di bawah Hadi Awang adalah golongan yang mahukan pemabahruan mutlak dalam dalam pemerintahan negara. Ia memperjuangkan identiti Islam dengan tidak mengira keturunan bangsa, ingin menghidupkan kesedaran Islam yang tulen, mahukan sebuah negar Islam, bercita-cita menghidupkan budaya Islam, melaksanakan undang-undang Islam dalam negara serta negara berdasarkan kepimpinan ulama.



MATLAMAT PERJUANGAN UMNO DAN PAS



Berdasarkan latarbekang UMNO dan PAS, kedua-duanya mempunyai dasar dan cita-cita politik yang berbeza. PAS menegaskan ia adalah satu-satunya parti politik yang berjuang menegakkan negara Islam di negara ini. Berdasarkan Perlembagaan PAS, Islam adalah perjuangan parti. Sejajar dengan itu PAS mendakwa mempunyai dasar perjuangan yang jelas dalam mendaulatkan Islam dengan segala kesyumulannnya di negara ini. Pemerhati politik menyisatkan PAS mempunyai entiti politik yang berlegar di sekitar isu-isu keagaamaan yang bersifat tulen. Imej parti ini adalah bermatlamatkan untuk menegakkan negra Islam dengan mengambil kira kepentingan orang-orang bukan Islam. Dalam konteks perjuangan PAS dewasa ini, ternyata ianya belum mampu menyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu lebih-lebih lagi, masyarakat bukan Islam tentang dasar yang hendak dibawa oleh Parti itu dalam pentadbiran negara. Pengaruhnya hanya tertumpu di sekitar minoriti masyarakat Malaysia.

PAS menurut John Funston sebagai sebuah parti yang mempunyai idealogi yang jelas. PAS mewarisi dasar-dasarnya daripada tiga tradisi idealogi; pendekatan PKM yang bercorak nassionalis dan sosialis, gerakan modernisme Islam iaiu Hizbu’l Muslimin dan gerakan anti-UMNO pada tahun 1950an. Dalam hal ini, Shafie Ibrahim berpendapat, PAS boleh dikatakan sebagai sebuah parti agama kerana perjuangannya hendak mendaulatkan Islam. Jika Islam ditafsirkan seperti yang difahami oleh PAS maka ia adalah lebih daripada sebuah parti agama. Justeru itu, PAS melihat Islam bukan sahaja sebagai embodiment atau pancaran daripada beberapa prinsip tetapi sebagai satu unit seperti ekonomi dan politik yang mempunyai peranan tersendiri. Ini kemudianya berinteraksi di antara satu sama lain sehingga membentuk struktur yang organik. Oleh itu, PAS menganjurkan Islam sebagai satu cara hidup.

Manakala UMNO mempunyai idealogi yang jelas mengenai satu isu sahaja iaitu mengenai semangat kebangsaan Melayu. Dalam hal ini, Perlembagaan UMNO menegaskan ia adalah parti progresif yang berjuang menurut lunas-lunas demokrasi dengan tujuan menghasilkan cita-cita kebangsaan. Tetapi, UMNO yang memperjuangkan lunas-lunas nasionalisme juga menjadikan pembangunan Islam sebagai salah satu cita-cita politiknya. Perlembagaan UMNO yang menjadi tunggak dan perjuangan kemerdekaan negara ini memberikan kedudukan Islam dan Muslim suatu kedudukan yang kukuh yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dari segi kedudukan agama Islam sahaja ia mempunyai unsur-unsur pengukuhan yang meliputi empat perkataan yang penting iaitu mendukung, mempertahan, menegak dan mengembangkan Islam. Empat perkataan tersebut menunjukkan bahawa UMNO melihat Isl;am sebagai agama yang menjadi akhak istimewa orang-orang Melayu. Dengan ini, selagi UMNO kekal di negara ini, maka Islam tetap terjamin dan terpelihara.

Ternyata UMNO dan PAS menjadi dua parti politik Muslim di Malaysia yang bertembung antara satu sama lain dan Islam menjadi isu utama pertembungan tersebut. PAS tetap mempertahankan bahawa konsep “Islam” yang dibawa oleh PAS adalah yang benar. Bagi PAS, Islam yang dibawa oleh UMNO adalah lebih cenderung sebagai lambang atau simbol bagi tujuan politik semata-mata. Manakala UMNO menyifatkan PAS sebagai sebuah parti yang bersifat ortodoks dan tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada orang Melayu-Muslim di negara ini.

Walaupun PAS dan UMNO menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, masing-masing dengan pendekatn tersendiri, namun ternyata UMNO lebih menyakinkan masyarakat Melayu bahawa pendekatan UMNO lebih berkesan dalam usaha memartabatkan Islam. Semenjak Malaysia merdeka tapok pemerintahan negara dieraji oleh UMNO. UMNO yang menjadi teraju utama dalam tapok pemerintahan di negara ini sejak kemerdekaan pada tahun 1957 memperlihatkan kebolehan parti itu untuk memajukan, meningkatkan taraf kehidupan sosial dan ekonomi warganegara Malaysia. Keharmonian dapat diwujudkan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Walaupun pemerintahan yang dijalankan oleh UMNO tidak berlandaskan al-Quran dan As-sunnah sepenuhnya namun nilai-nilai Islam terus dipertahankan melalui pendidikan, gerakan dakwah dan sebagainya. Senario inilah yang menyebabkan orang Melayu terus berpegang kepada UMNO. Buktinya, dapat dilihat melalui kemenangan-kemenangan UMNO dalam pilihanraya sepanjang Malaysia merdeka. PAS yang lebih bergantung pada retorik dan pengalaman sejarah lampau bagi menarik perhatian masyarakat ternyata menghadapi kesukaran untuk meyakin orang Melayu bahawa Islam yang cuba mereka tegakkan melalui wahana politik mampumenjadi alternatif yang lebih baik untuk pembinaan masa depan peradaban bangsa dan agama.

Pertembungan UMNO-PAS dalam proses politik di Malaysia telah agak lama berlaku, namun secara relatifnya pertembungan ini berlaku dalam ruang lingkup yang masih terkawal, tidak menjurus kepada penghakisan pembenukan peradaban cemerlang umat Islam kerana bersaing dalam politik. Dengan pretasi yang semakin baik yang dicapai oleh parti Islam dan persaingan yang berlaku semakin sengit, tolenransi antara kedua-dua pihak yang saling merebut pengaruh akan menetukan masa depan politik dan pembinaan Melayu-Islam. Umat Islam mempunyai banyak pilihan dalam menentukan arah tuju peradaban mereka melalui proses politik di negara ini.



POLITIK MUSLIM AKHIR ABAD KE-20



Amalan demokrasi di Malaysia menyuburkan elemen Islam dalam politik Malaysia. Perubahan sikap masyarakat terhadap Islam turut memberi kesan terhadap kecenderungan politik. Selepas UMNO diterajui oleh Dr. Mahathir Mohamad dan menjadi Perdana Menteri Malaysia memperluaskan nilai-nilai Islam dalam perjaungan UMNO. UMNO berjaya menarik para tokoh PAS dan tokoh gerakan Dakwah ABIM seperti Anwar Ibrahim. Sebelum tahun 1998 ternyata elemen Islam turut berpaksikan dalam UMNO dan UMNO dilihat sebagai turut memperjuangan Islam. Pendekatan yang diambil oleh UMNO membolehkan perjuangannya turut di sokong oleh gerakan Islam di Malaysia. Gerakan Islam yang tersebar di Malaysia iaitu ABIM , menggunakan pendekatan “rakan dalam pembinaan negara” dalam usaha mendukung usaha-usaha kerajaan meningkatkan penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat. Kecenderungan menyokong kerajaan dan UMNO ini mengalami perubahan berikutan berlakunya kemelut politik dalam tahun 1998 yang menyebabkan UMNO dan kerajaan mengambil sikap memusuhi gerakan Islam.

Sikap permusuhan ini menimbulkan reaksi balas apabila gerakan Islam di Malaysia mengubah pendirian politik mereka daripada menyokong kerajaan kepada menyokong pembankang. Perubahan sikap ini dimanifestasikan melalui dimanifestasikan dalam keputusan pilihanraya ke-10 apabila jumlah undi yang diterima oleh Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO merosot kepada 52.9% mankala Barisan Alternatif yang diterajui oleh PAS berjaya mendapat 47.1% undi. Walaupun dari segi jumlah kerusi PAS hanya berjaya memperoleh 27 kerusi, tetapi keputusan pilihanraya ini jelas menunjukkan bahawa perubahan besar telah berlaku di kalangan orang Melayu yang mempunyai kaitan dengan penghayatan Islam mereka.

Peristiwa pemecatan Datuk Sri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 ternyata menjadi titik peralihan kepada perubahan sikap masyarakat terhadap politik Islam. Ternyata bahawa kekuatan Islam yang selama ini terdapat dalam kerajaan dan UMNO sebahagiannya merupakan sokongan elemen Islam yangdidukung oleh pelbagai gerakan Islam yang terdapat dalam masyarakat. Selama16 tahun berada dalam UMNO, gandingan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menwujudkan suasana kondusif yang menyemarakkan kesedaran Islam dalam masyarakat dan meningkatkan imej Malaysia di kalangan negara Islam.

Walau bagaimanapun, krisis politik yang berlaku telah memberi kesan kepada kecenderungan politik masyarakat Melayu. Ulama-ulama berwibawa dan dihormati masyarakat, walaupun bersimpati dengan parti pembangkang, sebelum ini ikut serta dalam program Islam anjuran kerajaan. Kemelut politik yang berlaku menyebabkan mereka memisahkan diri daripada mempunyai sebarang bentuk hubungan dengan kerajaan. Malahan, mereka secara terbuka mengkritik pendekatan kerajaan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Islam yang dianggap bercanggah dengan hukum syarak. Penolakan rakyat terhadap pendekatan Islam UMNO dimanifestasikan oleh keputusan pilihan raya tahun 1999 apabila sebahagian besar calon yang dianggap mewakili kelompok agama dalam UMNO ditolak oleh pengundi, sedangkan di pihak PAS pula calon yang membawa imej ulama diterima oleh pengundi untuk mewakili mereka.

Masyarakat Melayu menjelang alaf baru menunjukkan perubahan sikap yang jelas terhadap Islam dan politik yang sebahagiannya merupakan hasil daripada dasar kerajaan dan UMNO. Kecenderungan masyarakat yang semakin mendalam terhadap Islam akan menjadi elemen penting dalam menentukan arah tuju peradaban Malaysia pada masa akan datang. Perubahan ketara masyarakat Melayu kini termasuklah persepsi mereka terhadap peranan yang dimainkan oleh ulama dari segi pimpinan dalam politik. Parti Keadilan Nasional yang diwujudkan sebagai parti pelbagai kaum dengan orang Melayu sebagai kumpulan utama turut menonjolkan imej Islam dan ulama bagi mendapatkan simpati warganegara Malaysia. Sokongan yang diberikan oleh gerakan Islam terhadap parti ini dan kehadiran beberapa orang tokoh yang membawa imej ulama dalam parti tersebut merupakan antara faktor utama yang menjadikan parti tersebut sebagai parti yang menarik sokongan orang Melayu.

Suasana politik di Malaysia yang secara relatifnya bersifat toleran terhadap penglibatan Islam meletakkan kumpulan yang memperjuangkan Islam kepada tanggungjawab yang berat bagi membuktikan bahawa pendekatan yang mereka kemukakan merupakan alternatif yang lebih baik daripada yang sedia ada. Slogan dan retorik yang telah dikumandangkan meletakkan harapan yang tinggi bahawa alternatif yang dikemukakan itu sebagai realiti bukan sekadar janji-janji kosong. Kegagalan usaha-usaha yang diperjuangkan oleh Islam melalui saluran politik tidak mustahil akan menyebabkan masyarakat Melayu mengambil sikap mengekalkan status quo yang wujud yang dianggap lebih baik daripada alternative yang dikemukakan. Dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh pemerintah dan UMNO bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap usaha Islam yang mereka perjuangkan, “persaingan sihat” yang pernah berlaku sebelum ini akan membawa masyarakat Melayu ke arah kecemerlangan peradaban alaf baru.



KESIMPULAN



Konklusinya, Islam dan politik dua elemen yang saling berhubung kait antara satu sama lain di Malaysia.





























BIBLIOGRAFI



BUKU:



Abdul Aziz Mat Ton. (2000). Politik al-Imam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan

Pusaka.



Adnan Hj. Nawang. (1998). “Za’ba Dan Melayu”. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn

Bhd



Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique dan Yasmin Hussain. (1985). “Readings On Islam In

Southest Asia”. Singapore: Institute Of Southeast Asia Studies.



Ibrahim Ahmad. (1998). “Konflik UMNO, PAS dan Isu Islamisasi”. IBS Buku Sdn Bhd.

Selangor.



Ghazi Ramli dan Aidit Ghazali.(2001). “Pemimpin Politik Berwibawa Pada Alaf Baru:

Cabaran Dan Panduan”. Kuala Lumpur. Akademi Iqra’.



Mahayudin Haji Yahya. (2000). “Islam Di Alam Melayu”, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Kuala Lumpur.



Mohd Jamil Bin Mukmin. (1992). “Sejarah Perkembangan Islam”. Kuala Lumpur.

Nurin Enterprise.



Mohd. Sarim Hj Mustajab. “Gerakan Islah Islamiyah Di Tanah Melayu 1906 Hingga

1948” dalam “Malaysia, Sejarah Dan Proses Pemerintahan”.(1978). Kuala Lumpur.Persatuan Sejarah Malaysia.



Saptuyah Mahmud. “Perjuangan UMNO-PAS Antara Matlamat dan Realiti” dalam

“Politik Melayu dan Demokrasi”. Suntingan Yusof Ismail dan Khayali Ibrahim.

(1996). Kuala Lumpur.



Taufik Abdullah. “Islam di Alam Melayu; Masa Kini dan Masa Hadapan” dalam

Ismail Hussein et.al. (1995). “Tamadun Melayu Jilid 3” . Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.



William R. Roff. (2000). “Nasionalisme Melayu”. Tjmhn: Ahmad Boestamana. Kuala

Lumpur Penerbitan Universiti Malaya.















INTERNET:



“Islam Dan Proses Politik Dalam Peradaban Malaysia” oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Redzuan Othman, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Dipetik:http://66.102.7.104/search/?q=cache:4fioc223_VOJ:dbp.gov.my/ddp98/majalah/ipp.pdf+sej...



http://www.abim.org.my/web/modules/tinycontent/index.php?id=1



http://www.soc.usm.my/artikel/syarahan.htm



http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia

0 comments: